Berita Mediacorp 25th May 2019


Lebih 3,000 orang menerima habuan $1,080,450 daripada Tabung Amal Aidilfitri (TAA) hari ini (25 Mei).

Jumlah penerima itu satu tambahan sebanyak 11.6% berbanding 2,765 permohonan yang diluluskan pada tahun lalu.

263 penerima mendapat habuan tunai mereka dalam majlis pengagihan pertama TAA di Wisma Geylang Serai hari ini (25 Mei).

PENERIMA BERSYUKUR DAPAT HABUAN

Lega, gembira dan bersyukur - di saat-saat persiapan untuk menyambut Aidilfitri yang menjelang tiba.

Manakan tidak, kesempitan kewangan dapat diringankan sedikit dengan pemberian habuan Dana TAA sebanyak $350 seorang.

"Bersyukur ada lagi orang yang nak menolong kami jadi macam kegembiraan itu tidak boleh terhingga rasakan. Cuma saya dapat duit itu akan cermat juga pasal saya pun duduk seorang diri, buat pergi hospital, makan minum," kata salah seorang penerima, Cik Norseya Imam Shah.

Datuk Bandar Daerah Tenggara, Dr Mohamed Maliki Osman menyambut baik usaha TAA sepanjang 27 tahun ia ditubuhkan untuk mempelbagaikan platform menderma bagi membantu lebih ramai penerima bantuan, termasuk yang bukan Islam.

Katanya: "Ia menunjukkan bahawa masyarakat Islam juga prihatin terhadap masyarakat yang bukan Islam juga, yang penting ialah kita sebagai satu masyarakat terus membantu dan menyokong mereka yang berkelebihan dengan sifat rahmah dan membantu mereka yang kurang berkemampuan."

PERMOHONAN LEBIH, SUMBER TERHAD

Meskipun demikian, TAA terkilan tidak dapat membantu lebih 400 orang yang tampil memohon bantuan tahun ini.

"Peningkatan pada tahun ini telah mencatat satu sejarah bagi TAA kerana kita mengagihkan jumlah lebih daripada $1 juta kepada para penerima TAA yang seramai lebih daripada 3,000.

"Walaubagaimanapun, kita menerima permohonan lebih daripada 3,500 pemohon tetapi dengan sumber yang agak terhad dan dana yang terhad yang dapat dikumpulkan kita hanya dapat memberi setakat 3,000 sahaja dan sejumlah $1 juta," ujar Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA Muhammad Harmizan Abdul Hamid.

Jumlah yang diagihkan itu bagi menampung jumlah penerima yang diluluskan sebanyak 3,087 orang.

Malah, pengagihan dana Aidilfitri tahun ini sebanyak $350, satu tambahan $50 berbanding tahun lalu dan merupakan kali ketiga jumlah kuantum agihan dinaikkan dalam tempoh lima tahun.

Maka itu, Encik Harmizan berharap masyarakat akan terus menyumbang bagi membantu badan itu mencapai sasaran S$850,000.