Berita Mediacorp 25th April 2019


Lebih 3,400 permohonan TAA diterima tahun ini - tertinggi dalam masa 6 tahun

Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) menerima lebih 3,400 permohonan tahun ini - jumlah tertinggi dalam masa enam tahun. Menurut Ketua Jawatankuasa Eksekutif Dana Amanah TAA, Encik Harmizan Abdul Hamid, maklumat pemohon akan disemak dengan teliti bagi mengenal pasti hanya mereka yang benar-benar layak menerima bantuan.
"Proses semakan dan meluluskan permohonan sedang dilakukan dengan cara-cara yang teliti dan tulus. Ini penting bagi TAA dalam mengendalikan amanah para penderma TAA bagi menhulurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan," kata beliau. Kempen TAA tahun ini yang membawa tema 'Sumbangan Bakti, Amalan Suci', menyasarkan pungutan sebanyak $850,000 bagi membantu mereka yang memerlukan.
Dilancarkan malam semalam (24 Apr), kempen tersebut berlangsung sehingga 9 Jun ini. Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad, berkata: "Kita harus cuba meringankan beban mereka oleh kerana saya rasa kebanyakan mereka mempunyai cabaran tersendiri, misalnya mereka yang kurang berupaya, mereka yang mungkin mempunyai isu-isu kesihatan dan sebagainya." Salah seorang penerima bantuan, ibu tunggal, Cik Zanizah Aziz, menjaga anaknya yang kurang upaya akibat epilepsi atau serangan sawan pada usia empat tahun. Habuan TAA yang beliau terima sejak tiga tahun lalu bahkan membolehkannya berniaga kuih dari rumah bagi menampung kos kehidupan. "Bagi tahun ini, saya akan cuba memperbesarkan sedikit membuat kuih dan rempeyek, tumpi dan bermacam lagi kuih-muih yang boleh dibuat untuk semua bagi hari raya nanti," kata Cik Zanizah.

Encik Harmizan menambah: "Kebanyakan daripada penerima TAA menggunakan wang itu untuk menampung diri harian mereka. Jadi TAA itu menjadi satu landasan untuk kami semua bergiat dalam kerja-kerja amal yang ada di luar."
MANFAAT MEDIA SOSIAL BAGI GALAK MASYARAKAT
Usaha menyebarkan semangat memberi dan menolong ini dapat dipertingkatkan lagi dengan sokongan tiga duta buat julung-julung kalinya tahun ini. Mereka ialah pelakon Shahril Wahid dan Alias Kadir serta cef selebriti Mel Dean. "Saya akan menggunakan status saya sebagai selebriti dengan sebaik mungkin dan dengan menggunakan penggunaan media sosial terhadap usaha-usaha untuk meningkatkan serta merangsangkan lagi supaya masyarakat Singapura maju ke depan untuk memberikan sumbangan mereka," kata Mel Dean. Orang ramai boleh menyumbang menerusi pelbagai kaedah termasuk dengan menggunakan kod QR Nets dan talian amal sepanjang tempoh kempen ini.