Berita Mediacorp 24th November 2018


TAA kumpul lebih $1 juta, kempen Sinaran Hati Mediacorp Warna 942 FM sumbang hampir separuh

BERITAmediacorp: Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) berjaya mengumpul dana sejumlah $1,027,699. Demikian diumumkan di akhir konsert amal Sinaran Hati anjuran bersama Mediacorp Suria, yang berlangsung pada malam semalam (23 Nov).

Jumlah tersebut termasuk hasil kutipan Kempen TAA Ramadan & Sinaran Hati menerusi stesen radio Mediacorp Warna 94.2 FM sebanyak $477,130 dan S$100,000 yang diterima secara online melalui www.taa.org.sg dan www.giving.sg/taa-trust-fund.

Semasa edisi ke-13 konsert Sinaran Hati semalam (23 Nov), 14 persatuan dan pertubuhan berbilang kaum dan agama turut memberikan sumbangan antara S$5,000 dengan S$30,000.

Buat julung-julung kalinya, Dana Amanah TAA melancarkan Kempen Amal Sinaran Hati selama tiga bulan dalam usaha membantu lebih banyak keluarga masyarakat Melayu/Islam yang memerlukan. Diadakan dari Oktober hingga Disember ini, kutipan dana dilakukan di pelbagai platform media sosial, pameran bergerak serta menerusi stesen radio Mediacorp Warna 94.2FM dan konsert tahunan Sinaran Hati bersama Mediacorp Suria.

"Buat pertama kalinya, kami lakukan kempen radio di luar Ramadan. Dan sambutan yang kita terima amat mengharukan sekali dan ini akan menggalakkan lagi TAA untuk berusaha bersama masyarakat untuk membantu mereka yang memerlukan," kata Encik Muhd Harmizan Abdul Hamid, Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA.

Encik Muhd Harmizan sebelum ini juga mengatakan bahawa dengan sokongan wadah-wadah media sosial seperti Facebook dan Instagram, pihaknya berharap dapat mendampingi lebih ramai orang dan mewujudkan tahap kesedaran yang lebih tinggi mengenai bagaimana sumbangan awam boleh memberi kesan positif terhadap kehidupan para penerima. 

Konsert amal TAA yang bertemakan 'Raikan Nikmat dalam Keihsanan' menampilkan persembahan oleh barisan artis tempatan seperti Hyrul Anuar, Syed Azmir dan Farisha Ishak.

Acara itu diserikan oleh tetamu terhormat, Menteri Kewangan Heng Swee Keat.

Konsert tersebut juga disuntik sentuhan bintang, dengan Aishah menyanyikan lagu "Syurga di Telapak Kaki Ibu" dengan paparan sketsa kasih sayang antara ibu dengan anak.

Bagi mereka yang ingin membuat sumbangan, anda boleh terus melakukan demikian secara online menerusi laman www.taa.org.sg.

Dari sekarang hingga 31 Disember, anda masih boleh membuat sumbangan derma S$50 dengan menghubungi talian 1900 112 9050 dan sumbangan derma S$10 dengan menghubungi talian 1900 112 9010.

Siaran ulangan Sinaran Hati akan ditayangkan pada pukul 10.30 malam, 30 Disember di Suria.

- BERITAmediacorp