Berita Mediacorp 23rd May 2018


BERITA Mediacorp: Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA)memerlukan sokongan anda untuk mengumpul $850,000 tahun ini.

Ramadan ini, TAA memperkenalkan kaedah baru, kod QR, bagi memudahkan anda menderma demi membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Menderma menggunakan kaedah kod QR ini diumumkan di acara Iftar Bersama TAA yang berlangsung di restoran The Landmark malam tadi (23 Mei).

Kaedah kod QR menerusi aplikasi 'netsplay paynow' diperkenalkan di samping lima lagi kaedah untuk menyumbang termasuk talian telepol, surat rayuan dan kotak derma. Badan TAA masih lagi dalam proses meluluskan permohonan penerima bagi dana amanahnya itu.

Namun, ia memberi jaminan akan berusaha untuk menghulurkan bantuan kepada lebih ramai orang tahun ini berbanding lebih 2,600 penerima tahun lalu.

Sempena acara iftar ini, Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Yaacob Ibrahim, turut mengagih-agihkan habuan kepada 20 penerima berserta ahli keluarga mereka.

"Saya amat bersyukur sekali kerana TAA dapat bantu saya daripada segi kewangan. Dapatlah saya dan anak-anak bersama-sama merayakan hari raya menjelang nanti, insyaAllah," kata Encik Mohd Hassan Abu Bakar, salah seorang penerima TAA.

Menurut Encik Muhd Harmizan Abdul Hamid selaku ketua jawatankuasa eksekutif TAA, usaha memperluas wadah bagi orang ramai menghulurkan bantuan dan sumbangan sejajar dengan usaha badan itu untuk mendekati lagi para penerima.

Sekitar 50 kotak derma disediakan di merata negara tahun ini bagi memudahkan orang ramai menyumbang kepada TAA. Ini termasuk tempat-tempat baru seperti di hotel The Landmark, Orchid Country Club dan Wisma Geylang Serai (WGS)

Related Articles