Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) akan mengagihkan S$1,148,350 kepada 3,281 pemohon yang diluluskan pada 16 Mei ini – jumlah tertinggi yang diagihkan sejak 10 tahun lalu.
Jumlah tersebut sebahagian besarnya hasil sumbangan orang ramai melalui konsert Sinaran Hati pada lewat tahun lalu.
Setiap penerima akan mendapat S$350 seorang, kata TAA dalam kenyataannya hari ini (12 Mei).
Bagaimanapun, TAA tidak akan mengadakan Majlis Pengagihan tahunannya kali ini disebabkan langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19.
Sebaliknya, kebanyakan penerima akan menerima dana tersebut melalui GIRO.
Baki penerima pula akan menerima cek, yang bakal dikirimkan ke alamat rumah mereka.
LEBIH S$500,000 TERKUMPUL SEMPENA KEMPEN RAMADAN SEJAUH INI
Sehubungan itu, TAA mengalu-alukan sokongan berterusan daripada orang ramai sempena bulan Ramadan ini.
Setakat 18 Ramadan (11 Mei), lebih S$500,000 berjaya dikumpulkan bagi kempen Ramadan TAA.
Malah, pada 10 hari pertama Ramadan sahaja, sebanyak S$200,000 didermakan kepada TAA tahun ini – jauh lebih tinggi berbanding S$56,000 bagi tempoh sama tahun lalu.
Ini meskipun tiada tabung dan Telepol TAA yang disediakan bagi sumbangan derma tahun ini.
Pengurus TAA Didicazli, berkata: “Sebelum kempen ini bermula, kami sebenarnya sangat bimbang bagaimana untuk memohon sumbangan di tengah-tengah COVID-19 kerana orang ramai banyak terjejas, tidak kira dalam apa bidang sekali pun.
“Namun memandangkan kami sudah menerima permohonan daripada bakal penerima, kami harus meneruskan kempen ini, tapi tanpa sebarang matlamat khusus.
“Jadi kami tidak sangkakan sokongan kukuh orang ramai dan kami sedar masyarakat memang amat menyokong walaupun dalam keadaan COVID-19 ini.”
4 WADAH SUMBANGAN
Tahun ini orang ramai boleh menderma menerusi empat wadah online yang tertera di laman TAA – PayNow, Giving.sg, pemindahan bank dan cek.
Setakat ini, lebih 8,000 transaksi sumbangan sudah dilakukan.
“Kempen kali ini sangat berbeza. Oleh itu kami bekerja rapat dengan radio Warna 94.2FM bagi menyampaikan mesej bagi menggalak orang ramai menyumbang apa jua jumlah derma, tanpa sebarang had minimum,” kata Didicazli.
LAHIRKAN HARAPAN SEMPENA 10 HARI TERAKHIR RAMADAN
Dalam pada itu, TAA turut melahirkan harapan supaya orang ramai terus mempamerkan keihsanan mereka menjelang 10 hari terakhir Ramadan ini.
“Kami berharap dengan datangnya 10 hari terakhir Ramadan ini, orang ramai terus bersemangat untuk lebih menghulurkan sumbangan online mereka ke www.TAA.sg,” kata Didicazli.
Kempen tersebut akan berlangsung sehingga akhir Ramadan pada 23 Mei ini.
Copyright © Tabung Amal Aidilfitri Trust Fund. Wesbite Managed by Exabytes. All Sights Reserved.