TAA agih dana tambahan $331,600

DANA Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) akan mengagihkan dana tambahan $331,600 buat para penerima bantuannya hari ini.

Dengan dana tambahan ini, TAA telah mengagihkan sekitar $1.48 juta – termasuk $1.15 juta yang sudahpun diagihkan pada Mei lalu di bawah Dana Aidilfitri TAA – sepanjang tahun ini.

Ia merupakan pengagihan dana tertinggi dalam sejarah 28 tahun pertubuhan tersebut.a

Dalam satu kenyataan semalam, TAA berkata penerima bagi agihan kedua sokongan tambahan ini, yang dikenali sebagai Dana Darurat TAA, merupakan 3,316 individu yang mendapat Dana Aidilfitri TAA pada Ramadan lalu.

Sebahagian besar penerima bantuan TAA akan menerima agihan kedua dana tersebut menerusi GIRO, menurut pertubuhan itu lagi.

Pada tahun yang sudah, TAA menjalankan usaha mengumpul dana melalui Kempen Ramadan dan Kempen Sinaran Hati, dan dana yang dikumpul dari kedua-dua kempen tersebut akan diagihkan pada bulan Ramadan tahun berikutnya.

Bagaimanapun, dalam mengharungi masa-masa yang tidak menentu disebabkan pandemik Covid-19, TAA berkata mereka sedar akan kesukaran yang dihadapi oleh penerima bantuan mereka. Lantaran, mereka telah berusaha untuk meningkatkan lagi bantuan TAA agar dapat dihulurkan kepada golongan kurang bernasib baik.

Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Encik Farihullah Abdul Wahab Safiullah berkata:
“Kami ingin melakukan lebih banyak lagi buat golongan kurang berkemampuan dalam kalangan masyarakat. Kami kini memberi bantuan kepada lebih 3,300 penerima daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Dengan cabaran ekonomi semasa, pekerjaan terjejas dan boleh menyebabkan kehilangan pendapatan bagi kebanyakan keluarga.

“Justeru, kami sedang mengusahakan strategi dan inisiatif yang akan membolehkan TAA meningkatkan keupayaan kami supaya bersedia untuk membantu lebih banyak keluarga terutama pada masa-masa sukar ini.”

Dalam pada itu, menurut TAA lagi, mereka menganggarkan Dana Aidilfitri sebanyak $1.2 juta diperlukan bagi tahun berikutnya, dengan bilangan permohonan bantuan dijangka meningkat.

Ini berdasarkan kemungkinan terdapatnya peningkatan pada jumlah permohonan tahun depan selepas menyaksikan peningkatan permohonan sejak tiga tahun lalu.
Pandemik Covid-19 telah menjejas rancangan TAA dan langkah sokongan kempen yang dijalankan, namun ia tetap meneruskan Kempen Amal Ramadan pada tahun ini walaupun tanpa kotak derma dan nombor Telepoll 1900.

TAA telah menguar-uarkan tentang wadah derma dalam taliannya di www.TAA.sg tahun ini menerusi media, termasuk Berita Harian, dalam usaha mengumpulkan dana secara dalam talian pada Ramadan tahun ini.

Secara umumnya, TAA bergantung pada sumbangan derma awam untuk mengagihkan bantuan kewangan kepada penerima daripada keluarga berpendapatan rendah.

Original Article : TAA agih dana tambahan $331,600