TAA kekal sebagai ikon bantuan kepada masyarakat Melayu/Islam

Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) kekal sebagai ikon dan mempunyai jenama yang dekat di hati masyarakat Melayu/Islam di Singapura setelah 32 tahun ia ditubuhkan, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Peranan TAA sebagai jentera bantuan kepada keluarga dan individu memerlukan di ambang musim perayaan tetap diiktiraf meskipun zaman pesat berubah dan wujud banyak lagi badan yang bergotong-royong mengumpul dana untuk keperluan masyarakat.

Demikian jelas Dr Faishal semasa majlis pengagihan TAA Ramadan 2024 di pesta dagangan Celebfest, Suntec City, pada 31 Mac.

“Kita dapat lihat tahun demi tahun, TAA bukan sahaja mengumpul dana tetapi mengagihkannya kepada mereka yang memerlukan.

“Saya rasa gembira kerana saya dapat merasakan bagaimana ketelusan institusi ini dengan masyarakat juga yakin dengan apa yang dilakukan TAA,” jelasnya.

Dr Faishal turut berkata bahawa ini mencerminkan bahawa masyarakat tetap prihatin dan ingin menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Pada 2024, TAA menetapkan sasaran mengumpulkan dan mengagihkan $1.35 juta kepada lebih 3,000 penerima bantuan termasuk individu dan keluarga yang sudah disemak latar belakangnya dan memenuhi kriteria seperti warga tua yang lemah, keluarga berpendapatan rendah serta mereka yang menghadapi pelbagai cabaran kewangan dan perubatan.

Pengamanah TAA, Encik Hamsani Raoh, berkongsi bahawa sehingga kini, TAA sudah mengumpulkan sebanyak $500,000.

Pada 2023, sekitar $1.2 juta berjaya dikumpulkan.

Meskipun jumlah pengumpulan dana ini masih jauh daripada apa yang disasarkan, Encik Hamsani berkata pihaknya yakin dengan bantuan Duta TAA termasuk rakan kongsi seperti penganjur acara dagangan selebriti, Celebfest, matlamat kutipan dana dapat dicapai dalam tempoh 10 hari terakhir Ramadan ini.

Celebfest merupakan rakan kongsi kami dalam mendapatkan dana daripada masyarakat.

“Ini merupakan tahun ketujuh mereka beroperasi dan ini merupakan tahun pertama bagi mereka menawarkan pentas khas untuk agihan dana amal TAA 2024.

“Menerusi cara sebegini, ia adalah satu-satunya platform di mana masyarakat dapat melihat sendiri proses pengagihan dana kami bukan sahaja di kawasan kejiranan tetapi kami turun padang di pusat bandar juga,” kata Encik Hamsani.

Pada majlis tersebut, Dr Faishal secara peribadi telah menyampaikan Paket Dana TAA kepada 20 penerima bantuan TAA.

Antara mereka yang menerima habuan TAA ialah Cik Suriani Sabudin, 64 tahun.

Beliau yang mengalami isu kesihatan jantung dan otot kaki berkata sumbangan TAA ini akan banyak membantunya dari segi perbelanjaan harian.

“Saya sangat bersyukur menerima sokongan daripada Dana TAA ini.

“Sedikit sebanyak ia membantu saya untuk mengurangkan kos perubatan saya dan juga memperkasakan diri untuk menjaga keperluan diri sendiri,” kata ibu empat anak itu.

Seramai 60 penerima bantuan mendapat Paket Dana TAA pada acara Celebfest.

Sementara itu, lagi 2,950 penerima bantuan TAA telah menerima Dana TAA melalui Giro sebelum 28 Mac 2024.

Original Article: https://www.beritaharian.sg/singapura/taa-kekal-sebagai-ikon-bantuan-kepada-masyarakat-melayuislam